Peningkatan Pelajar Sijil Pengajian Islam Remaja (SPIR)

Institut Pengajian Islam Pergas

Peningkatan Pelajar Sijil Pengajian Islam Remaja

Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP) mendapat sambutan baik bagi Program Sijil Pengajian Islam Remaja yang telah dimulakan pada tahun ini.
Program Sijil Pengajian Islam Remaja bertujuan untuk mempelajari dan memahami pengajian agama seperti Tauhid, Fiqh, Tafsir, Hadis, Akhlak, Sirah, Tajwid dan al-Quran. Sukatan pelajaran pengajian ini setara dengan peringkat Sijil Pengajian Islam bagi memenuhi keperluan para penuntut remaja yang ingin mengikuti pengajian secara berstruktur. 

Bagi keberkesanan pembelajaran, program ini memuatkan pendekatan secara teori dan praktikal. Disampaikan dalam bahasa Melayu, program selama empat tahun ini terbuka untuk remaja berumur dari 13 hingga 15 tahun. Pengambilan dibuka pada bulan Januari dan Julai.
Program ini bertujuan untuk melahirkan generasi yang berpengetahuan tentang ilmu pengajian agama secara berstruktur dan mengikut kesesuaiannya dalam konteks terkini. Ia juga mahu meningkatkan mutu bacaan al-Quran serta memperkukuh bacaan dalam solat dan mempraktikkan dan memahami kepentingan solat dalam kehidupan seharian.

Walaupun masih di tahun pertama, banyak peningkatan yang dilihat oleh ibu bapa yang menghantar anak remaja mereka.

Encik Muhammad Fazalee Jaafar, 48 tahun, bekerja sebagai presiden Mahkamah Syariah, yang menghantar anaknya ke program ini, memberitahu pihak IPIP dalam temubual untuk laman sesawang mereka, “Alhamdulillah. Ada peningkatan dari pengetahuan mereka dan penghafalan mereka dalam Al-Quran. Dan juga pemahaman mereka tentang beberapa surah-surah dalam Al-Quran. Perkara-perkara itu saya rasa pentinglah. Dalam pengajian agama kita perlu menghayatilah apa yang dipelajari.”

Perkara ini disetujui oleh Cik Rahmah Idris, yang turut ditemubual pihak IPIP, yang menghantar dua orang cucunya ke program ini.
Selain dari memahami surah-surah, Cik Rahmah menambah, “Dia punya tajwid, belajar mengaji, Alhamdulillah. Semua dah tahu panjang pendek. Dia tahu ini qalqalah. Ini hukum apa. Itu yang buat (saya) bersyukur banyak-banyak.”

Cucu-cucu Cik Rahmah, Adam Ashar Mujahid dan Mohd Haydar Genelo Mujahid turut seronok kerana dapat menghadiri program ini bersama memandangkan umur mereka 13 dan 14 tahun. Dalam temubual untuk Instagram IPIP, Mohd Haydar , berkongsi, “Ianya seronok kerana ada adik di dalam kelas seperti ada kawan. Boleh teman saya.” 

Adiknya, Adam Ashar pula, berkata “Ianya bermanfaat. Abang saya lebih tua (jadi) saya boleh minta pertolongan dia dalam kelas jika saya terlepas dalam perkara-perkara tentu atau bantu saya tahu buat kerja saya.”

Untuk program ini, penilaian akan dibuat dari masa ke semasa. Oleh itu, pelajar perlu konsisten di dalam menghadiri kelas untuk dinilai. Pelajar harus bersedia untuk segala bentuk penilaian yang ditetapkan oleh pihak IPIP. Penilaian akan merangkumi kuiz, tugasan dan ujian.
Bagi yang berminat boleh mendaftar di https://ipip.motionmarket.sg/borang-pendaftaran-sijil-pengajian-islam-remaja/.

Kongsi kisah ini:

Baca kisah-kisah berikut

Institut Pengajian Islam Pergas
Testimoni

Pengajian Islam dapat permintaan tinggi

Pendidikan Islam berstruktur yang disediakan oleh Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP), mendapat permintaan yang tinggi daripada para pelajar yang ingin meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agama Islam, tanpa mengira usia mereka.

Baca Lebih Lanjut »

Pertingkat pengajian ukhrawi bersama IPIP

Institut Pengajian Islam Pergas

Pertingkat pengajian ukhrawi bersama IPIP

Cik Rachmawati Lestari, 52 tahun, pernah menganggap dirinya sudah tidak begitu muda lagi semasa beliau menimbangkan untuk melanjutkan kuliah dalam pengajian Islam sekitar lima tahun lalu.

Bagaimanapun, ibu dua orang anak ini, Wafi, anak lelaki berusia 24 tahun, dan Alifa, anak perempuan berusia 20 tahun, meneruskan juga hasratnya setelah memikirkan bahawa sebelumnya beliau hanya mendapat pendidikan sekular dan telah belajar agama semasa di sekolah rendah sahaja.

‘‘Apa yang mendorong saya ialah seorang ustaz yang pernah mengatakan bahawa ramai daripada kita belajar ilmu dunia ke tahap sangat tinggi, tetapi bagaimana dengan ilmu agama untuk akhirat? Di sinilah saya berfikir bahawa ilmu pengetahuan agama saya sangat kurang, maka saya perlu menimba ilmu untuk bekalan akhirat,’’ kata Cik Rachmawati.

Suaminya, Encik Rachmat Novaruka, juga 52 tahun, seorang pengurus projek, pun berfikiran serupa dan mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan agama juga. Mereka berdua berasal dari Indonesia, tetapi sudah menjadi warga Singapura.

Kedua-duanya kemudian sepakat memilih Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP) untuk menambah ilmu pengetahuan agama, namun kini belajar di kelas berasingan.

Menurut Cik Rachmawati, mereka memilih IPIP kerana beberapa sebab seperti ia mempunyai platform pengajian untuk semua peringkat usia, pengajiannya lebih mendalam dari asas hingga ke peringkat lanjutan, dan program yang disediakan berstruktur.

Menyingkap lagi kebimbangannya semasa baru mengikuti pengajian di IPIP, Cik Rachmawati berkata:

‘‘Benar, memang ada kebimbangan, apakah saya boleh mengikuti sekolah dan komited untuk melanjutkan pelajaran sampai selesai. Jika melihat rakan sekelas, kebanyakan mereka masih muda, seumur dengan anak-anak saya. Waktu belajar juga jatuh pada hari Ahad iaitu hari rehat saya pada waktu itu. Tetapi kerana ada keinginan kuat untuk belajar agama, saya teruskan.’’

Namun, beliau dapat membuat penyesuaian dengan memastikan masanya diatur dengan baik, beliau dapat terus menghadiri kelas secara fizikal dan ‘online’ dan membuat persiapan untuk ujian.

Cik Rachmawati mengikuti Program Takrif Islam di IPIP, kemudian Sijil Pengajian Islam dan kini kursus Sijil Lanjutan Pengajian Islam. Modul-modul yang diajar termasuk Pengetahuan Syariah, Fiqh, Sejarah Peradaban Islam, Dasar Bahasa Arab, Usuluddin, Bacaan Al-Quran dan Hafalan Surah.

Beliau juga bersyukur dengan sokongan dan bimbingan asatizah IPIP di dalam kelas, membuat beliau tidak pernah putus asa, katanya, yang bekerja dalam bidang hospitaliti.

Mengenai belajar pada usia lanjut, beliau menerangkan lagi: ‘‘Tidak ada halangan bagi saya kerana menuntut ilmu itu wajib untuk semua Muslim.

Pengajian di IPIP ini juga sesuai bagi mereka yang sudah meningkat usia. Jika ada kemahuan, pasti ada jalan dan Allah akan mempermudah segala-galanya.’’

Beliau kini ingin melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma Pengajian Islam (DPI) pula. Mengenai cita-citanya, Cik Rachmawati berkata:

‘‘Saya ingin menjadi Muslimah yang lebih baik di dunia dan juga akhirat, beribadah bukan berlandaskan ikut-ikutan, tetapi belajar agar saya tidak buta ilmu dan ini memberikan contoh yang baik bukan hanya untuk diri sendiri dan keluarga saya, malah bermanfaat juga untuk orang lain.’’

Kongsi kisah ini:

Baca kisah-kisah berikut

Institut Pengajian Islam Pergas
Testimoni

Pengajian Islam dapat permintaan tinggi

Pendidikan Islam berstruktur yang disediakan oleh Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP), mendapat permintaan yang tinggi daripada para pelajar yang ingin meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agama Islam, tanpa mengira usia mereka.

Baca Lebih Lanjut »

Pengajian Islam dapat permintaan tinggi

Institut Pengajian Islam Pergas

Pengajian Islam dapat permintaan tinggi

Pendidikan Islam berstruktur yang disediakan oleh Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP), mendapat permintaan yang tinggi daripada para pelajar yang ingin meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agama Islam, tanpa mengira usia mereka.

Salah seorang pelajarnya, Cik Saidah Shariff, 72 tahun, sangat bersyukur atas peluang untuk menyambung pengajian Islam di IPIP.

“Sebelum ini, saya hanya memperolehi pendidikan agama secara tidak formal melalui kuliah di masjid-masjid sahaja. Tetapi, saya berhasrat untuk mendalami pendidikan agama secara rasmi.

“Alhamdulillah, saya berjaya tamatkan pengajian bermula dari peringkat Program Takrif Islam (PTI), Sijil Pengajian Islam (SPI), Sijil Lanjutan Pengajian Islam (SLPI) sehingga Diploma Pengajian Islam (DPI).

 

“Sekarang ini pula, saya sedang mengikuti kelas pengajian bahasa Arab di IPIP demi meraih ilmu pengetahuan agama yang sangat berharga. Syukur atas segala peluang yang saya perolehi.”

BUKA MINDA LEBIH MATANG

 

Selain itu, modul pengajian IPIP turut dipuji kerana banyak membuka minda pelajar ke arah pembentukan individu lebih matang dari segi ilmu dan akhlaknya.

Modul pengajian ini telah menerima respons positif oleh Cik Nurul Nabilah Atika Mohamad Reezal, 22 tahun, salah seorang pelajar yang sedang berada dalam fasa pengajian Diploma Pengajian Islam (DPI) di IPIP.

Beliau yang juga bekerja dalam bidang pemasaran e-dagang itu memberitahu:

“Pembelajaran di IPIP banyak mengajar saya tentang cara menyesuaikan diri dan bagaimana harus mengaplikasikan ilmu itu dalam masyarakat Islam Singapura.

“Pada masa yang sama, asatizah di sini juga tidak hanya mementingkan ilmu agama, tetapi mereka turut menekankan kepentingan ilmu duniawi bagi melahirkan pelajar yang berkualiti, beradab, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.

“Waktu pengajian IPIP juga sangat sesuai untuk mereka yang terikat dengan komitmen kelas aliran akademik atau pekerjaan harian kerana kelas IPIP hanya dilakukan pada hujung minggu sahaja.

“Tambahan pula, terdapat sesetengah pembelajaran dilakukan secara online dan ia memberi peluang kepada para pelajar untuk menguruskan masa pembelajaran dengan lebih baik.

Ketika ditanya tentang pandangan mereka terhadap program belia terbaru (Program Pengajian Islam Remaja) di IPIP, kedua-dua pelajar tersebut memberi galakan penuh kepada para belia di luar sana untuk menyertai program yang bakal bermula pada Januari 2023 itu.

INTERAKSI DENGAN DUNIA LUAR

Cik Nurul Nabilah berkata: “Hanya ketika berumur 19 tahun, baru saya mula melibatkan diri dengan program asas IPIP iaitu Program Takrif Islam (PTI).

“Tetapi sekarang ini, para belia yang berusia 16 tahun ke atas sudah layak menyertai Program Pengajian Islam Remaja IPIP.

“Saya anggap perubahan ini sebagai satu usaha yang baik kerana Pergas membuka ruang kepada lebih ramai anak muda mendekatkan diri dengan program pendidikan agama pada peringkat yang lebih awal.

“Remaja memerlukan ilmu agama untuk membaiki diri dan berinteraksi dengan dunia luar.

“Oleh itu, selayaknya anak muda menyertai program-program seperti ini di usia kritikal untuk membangunkan ummah yang lebih kuat rohani dan akhlaknya.”

Cik Saidah pula turut menggalakkan penyertaan belia di program di IPIP kerana ia menyediakan tenaga pengajar yang hebat dan berpengalaman.

“Setiap tugasan yang diberi sentiasa mendapat bimbingan daripada para asatizah dan ahli kumpulan.

“Oleh itu, seseorang yang baru hendak belajar agama tidak akan berasa rendah diri kerana semua orang di sini saling menyokong dan membantu antara satu sama lain.

“Ambillah peluang yang diberikan oleh IPIP untuk meningkatkan prestasi diri dalam kehidupan.

“Pendidikan akademik adalah penting dan pendidikan agama juga tidak kurang pentingnya. Justeru, para pelajar perlu bijak mengimbangi waktu bagi meningkatkan prestasi dalam kedua-dua cabang ilmu.

“Semoga masyarakat Islam di Singapura akan menjadi masyarakat yang cemerlang dan memperoleh ilmu bermanfaat untuk diri, keluarga dan agama,” jelas beliau lagi.

Kongsi kisah ini:

Baca kisah-kisah berikut

Institut Pengajian Islam Pergas
Testimoni

Pengajian Islam dapat permintaan tinggi

Pendidikan Islam berstruktur yang disediakan oleh Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP), mendapat permintaan yang tinggi daripada para pelajar yang ingin meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agama Islam, tanpa mengira usia mereka.

Baca Lebih Lanjut »

Usia emas bukan penghalang raih ijazah sarjana muda

Usia emas bukan penghalang raih ijazah sarjana Muda

Faktor umur bukanlah penghalang kepada Cik Farida binte Othman, 60 tahun, dan suaminya Encik Sumartono bin Rono Pawiro, 61 tahun, untuk menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda hasil kerjasama antara Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM).

Pada usia emas ini, mereka berdua menjadi contoh yang sangat baik bagi para pelajar yang ingin meningkatkan pencapaian diri, seterusnya menjadi insan yang bermanfaat untuk keluarga, masyarakat dan agama.

GEMBIRA TAMATKAN PENGAJIAN

Ketika ditemu bual, kedua-dua graduan Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Warisan Islam dengan Kepujian itu melahirkan rasa syukur kerana berjaya menamatkan pengajian mereka di IPIP.

Cik Farida binte Othman berkata: “Kami berdua mengambil masa selama 4 tahun setengah untuk menghabiskan tempoh pembelajaran yang bermula dari tahun 2017 hingga 2021.

“Saya sangat gembira, terharu dan berpuas hati atas pencapaian yang cukup bermakna dalam kehidupan ini. Sungguh tidak disangka, dalam umur yang telah lanjut sebegini, saya masih dapat merangkul segulung ijazah.”

PENGALAMAN YANG MENCABAR

Mengenang kembali cabaran yang dihadapi sepanjang menyambung pengajian, beliau berkata, salah satu cabaran ialah mereka perlu mengimbangi masa pekerjaan dan pembelajaran dengan baik.  

Jelas beliau: “Perjalanan mencapai Ijazah Sarjana Muda pada peringkat usia ini, bukanlah perjalanan yang mudah. Penat itu sudah pasti ada kerana kami terikat dengan komitmen kerja dan rumah tangga.

“Oleh itu, kami perlu bijak mengimbangi waktu kerjaya dan pembelajaran. Kadang-kadang, kami terpaksa mengambil cuti kerja untuk memberi tumpuan terhadap tugasan dan ulang kaji peperiksaan.

“Walau bagaimanapun, segala penat lelah yang dicurahkan sangat berbaloi. Kami berdua sangat gembira kerana berjaya menyelesaikan pengajian ini dengan sempurna.

“Terima kasih kepada rakan-rakan sekelas yang selalu menolong, sekaligus membuatkan perjalanan yang sukar menjadi lebih mudah.”

BERSYUKUR JADI PELAJAR IPIP 

Mengulas pengalaman belajar di IPIP, mereka berdua turut menyifatkan IPIP sebagai institusi terbaik untuk mendalami ilmu pengajian agama Islam.

Tambah Cik Farida, IPIP menawarkan program yang holistik dan merangkumi pelbagai modul yang menarik untuk dipelajari.

Kerjasama IPIP bersama universiti antarabangsa yang terkenal, IIUM, juga sudah cukup membuktikan kredibiliti IPIP sebagai pusat pendidikan tinggi Islam yang berkualiti di Singapura.

“Kami bersyukur kerana dikurniakan peluang untuk mempelajari program islamik seperti ini di Singapura. Dengan penyediaan program tersebut, maka kami tidak perlu lagi ke luar negara. Malah, tiada halangan untuk kami bekerja sambil belajar.

“Oleh itu, kami  ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak IPIP kerana menganjurkan program bermanfaat seperti ini kepada masyarakat Islam Singapura.”

  • Program Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Warisan Islam menawarkan pendekatan perbandingan dalam pengajian warisan Islam, pemikiran dan agama lain berdasarkan Usul al-Din. Ia memenuhi visi untuk mempromosikan sains Islam yang relevan dengan disiplin pengajian kontemporari.
  • Untuk maklumat lanjut, sila layari https://ipip.motionmarket.sg/program/pengajian-islam/bachelor/

Kongsi kisah ini:

Baca kisah-kisah berikut

Institut Pengajian Islam Pergas
Testimoni

Pengajian Islam dapat permintaan tinggi

Pendidikan Islam berstruktur yang disediakan oleh Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP), mendapat permintaan yang tinggi daripada para pelajar yang ingin meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agama Islam, tanpa mengira usia mereka.

Baca Lebih Lanjut »

Buru Sijil Bahasa Arab Pada Usia 72 Tahun​​

Buru Sijil Bahasa Arab Pada Usia 72 Tahun​

USIA lanjut tidak menghalang Cik Saidah Shariff, 72 tahun, untuk mempelajari bahasa Arab di Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP).

Cik Saidah, eksekutif bersekutu perkhidmatan pesakit, telah menyertai program Pengajian Bahasa Arab di IPIP pada awal tahun ini selepas beliau tamat program Diploma dalam Pengajian Islam di IPIP pada Disember lalu.

Sebelum ini, Cik Saidah telah mengikuti program Pengajian Islam di IPIP sejak 2014 daripada Program Takrif Islam, Sijil Pengajian Islam, Sijil Lanjutan Pengajian Islam dan Diploma Pengajian Islam.

“Selain berminat untuk terus menimba ilmu, saya juga terdorong hendak mempelajari bahasa Arab selepas mengalami satu peristiwa –  di mana saya kesal tidak dapat tolong seorang wanita yang meminta pertolongan saya, tetapi dia cakap dalam bahasa Arab dan saya tidak faham, satu ketika dahulu,” kata Cik Saidah.

Mengulas tentang pengalamannya mengikuti program Pengajian Bahasa Arab di IPIP, Cik Saidah berkata:

“Alhamdulillah, pensyarah yang mengajar memang baik. Di dalam kelas, kami berpeluang menulis dan bertutur dalam bahasa Arab dan kadang-kala, kami membuat tugasan secara berkumpulan. Ada juga penilaian di akhir peringkat pengajian bagi menguji pemahaman kami dalam bahasa Arab.”

Di rumah, Cik Saidah juga mendengar sebutan bahasa Arab melalui laman video, YouTube, supaya beliau dapat memahami bahasa Arab dengan lebih baik.  

“Saya sarankan masyarakat Islam mempelajari bahasa Arab kerana ia adalah bahasa Al-Quran kita. Apabila kita faham bahasa Arab, lebih senang kita faham apa yang kita baca di Al-Quran,” kata Cik Saidah.

Program Pengajian Bahasa Arab anjuran IPIP adalah pengajian yang akan memberi penekanan pada empat kemahiran iaitu pendengaran, pembacaan penulisan dan perbualan.

Program ini menawarkan tiga peringkat dari peringkat asas, pertengahan hingga ke peringkat lanjutan.

Setiap tempoh peringkat adalah selama sembilan bulan.

Kelas pengajian akan disampaikan dalam bahasa Melayu dan Arab.

Matlamat program ini adalah untuk membina khairah ummah melalui pengajian bahasa arab dan budayanya; mengajar bahasa Arab kepada masyarakat dari peringkat awal hingga peringkat lanjutan; dan memberi kemahiran bertutur, menulis, bercakap dan mendengar dalam bahasa Arab.

Kongsi kisah ini:

Baca kisah-kisah berikut

Institut Pengajian Islam Pergas
Testimoni

Pengajian Islam dapat permintaan tinggi

Pendidikan Islam berstruktur yang disediakan oleh Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP), mendapat permintaan yang tinggi daripada para pelajar yang ingin meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agama Islam, tanpa mengira usia mereka.

Baca Lebih Lanjut »

IPIP Lakukan Penyesuaian Bagi Cara Pembelajaran Sewaktu Arahan Pemutus Litar (CB)

IPIP Lakukan Penyesuaian Bagi Cara Pembelajaran Sewaktu Arahan Pemutus Litar (CB)

Banyak pusat pengajian yang terjejas akibat arahan penutupan dalam tempoh Pemutus Litar (CB) termasuklah, Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP).

Namun begitu, pihak IPIP sentiasa mencari jalan yang terbaik agar pembelajaran mampu diteruskan dengan menggunakan kaedah yang terbaik.

Ustazah Tan Nurul Hafidzah Binte Abdul Hadi, 32 tahun, yang memegang jawatan sebagai Pegawai Eksekutif Kanan IPIP menjelaskan bahawa IPIP sememangnya mempunyai perancangan awal untuk mengaplikasikan pembelajaran dalam talian.

“Dari awal Januari lagi, pihak IPIP sudah merencana untuk melaksanakan pembelajaran bersemuka dan pembelajaran secara dalam talian.”

 “Oleh itu, kami sudah mempunyai rangka untuk beralih kepada platform secara dalam talian dengan rujukan dan kajian tertentu.”

“Namun, kebetulan, arahan Pemutus Litar dikeluarkan dan kami perlu melancarkan pembelajaran dalam talian sepenuhnya.”

“Jadi, kami sudah pun mengaktifkan komuniti pembangunan e-learning yang terdiri daripada asatizah-asatizah separuh masa kami.”

“Dari situ, kami memberikan penerangan tentang jangkaan yang akan berlaku dalam suasana wabak COVID-19.”

“Walaupun masa untuk membangunkan pembelajaran dalam talian agak singkat, namun kita sudah mencuba untuk membantu apa yang termampu.”

“Cabaran untuk menyiapkan kandungan pembelajaran memakan banyak masa, tetapi ini mungkin menjadi latihan kepada pembelajaran e-learning untuk masa hadapan.” katanya.

Ustazah Sukarti Asmoin, 67 tahun, yang bekerja sebagai salah seorang daripada tenaga pengajar di IPIP berkata bahawa pembelajaran secara dalam talian adalah satu cabaran kerana para pengajar tidak dapat mengajar secara bersemuka.

“Dalam usia sebegini, saya tiada masalah untuk mendapatkan bahan pengajaran. Cuma, pembelajaran dalam talian agak mencabar kerana kita kurang kemahiran dalam bidang teknologi.”

“Walau bagaimanapun, kita harus bersikap terbuka kerana ia adalah satu-satunya cara untuk meneruskan pembelajaran.”

 “Walaupun saya kurang mahir menggunakan teknologi, tetapi saya tidak boleh malu untuk mempelajari sistem yang ada.”

“Membuat pembelajaran secara dalam talian agak memenatkan. Namun, kesungguhan para pegawai IPIP untuk membantu para guru yang bermasalah dari segi teknologi sangat dihargai.”

“Langkah yang ditunjukkan IPIP membuktikan bahawa mereka juga setanding dengan institusi lain dalam mengharungi sistem arus perdana yang canggih dengan kelengkapan terbaik,” ujar beliau.

Menurut salah seorang pelajar IPIP iaitu Cik Nuramalina Binte Muhammad, 34 tahun, beliau sangat bersyukur dengan kewujudan platform pendidikan IPIP dalam talian.

“Saya bekerja sebagai seorang guru dan saya juga harus menyediakan pembelajaran dari rumah (HBL) untuk murid- murid kami dengan menggunakan pelbagai platform teknologi.”

“Sewajarnya, IPIP melakukan perihal yang sama, Alhamdulillah, pengajian semester kami tidak terjejas.”

“Kelas pertama berlangsung seumpama seperti biasa. Ya, mungkin ada masalah kesukaran teknikal dari pihak astizah dan kami sebagai penuntut IPIP.”

“Di situlah, Allah beri kita banyak peluang untuk mempraktikkan pelajaran agama yang diajari dari pengajian di IPIP. Contohnya, sikap toleransi, tolong menolong, sentiasa mensyukuri dan husnuzon (bersangka baik) pada Allah. Itu nikmat yang besar.”

“Kami masih ada kerja rumah yang diberikan dan boleh dihantar kepada asatizah kami secara e-mel.”

“Kami masih diberikan tugasan pembentangan Powerpoint kepada rakan sekelas kami. Kami masih ada mempunyai oral presentasi dalam Bahasa Arab. Saya rasa tidak banyak perbezaan, cuma kami perlukan membiasakan diri sahaja.

“Ini merupakan semester terakhir saya, jadi saya sangat lega dan bersyukur pembelajaran diteruskan supaya saya dapat menamatkan pengajian Islam Sijil Lanjutan Pengajian Islam (SLPI). Oleh itu, saya boleh melanjutkan pelajaran program Sarjana di Kanada, selepas berakhirnya wabak COVID-19,” katanya penuh positif

Semoga inisiatif yang dilakukan oleh pihak IPIP akan berkekalan agar para pelajar boleh menuntut ilmu agama secara berterusan.

Kongsi kisah ini:

Baca kisah-kisah berikut

Institut Pengajian Islam Pergas
Testimoni

Pengajian Islam dapat permintaan tinggi

Pendidikan Islam berstruktur yang disediakan oleh Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP), mendapat permintaan yang tinggi daripada para pelajar yang ingin meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agama Islam, tanpa mengira usia mereka.

Baca Lebih Lanjut »

Peranan ibu bapa dalam membina keluarga Muslim yang berilmu

Keluarga Belajar IPIP

Peranan Ibu Bapa dalam Membina Keluarga Muslim yang Berilmu​

Ibu bapa boleh menjadi contoh kepada anak-anak dalam mengutamakan pendidikan agama Islam.

Demikian yang dilakukan Encik Qamarul Zaman, 52 tahun, pekerja perkhidmatan awam, dan isterinya, Cik Shikin Ali, 50 tahun, guru, yang turut mempelajari kursus Sijil Lanjutan Pengajian Islam di Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP) bersama tiga anak lelaki pertama mereka.

Encik Qamarul dan Cik Shikin mempunyai lima cahaya mata dan dua lagi anak mereka, 14 dan 11 tahun, kini belajar sepenuh masa di madrasah.

Menurut Encik Qamarul, beliau dan isterinya mengutamakan pendidikan agama buat anak-anak mereka sejak mereka kecil lagi.

Ketiga-tiga anak pertama mereka, Encik Luqman Al-Hakim, 25 tahun, Encik Lutfi Al-Hakim, 20 tahun dan Encik Danish Al-Hakim, 18 tahun, menyertai kelas madrasah hujung minggu peringkat darjah rendah dan menengah di Alumni Madrasah Aljunied Al-Islamiah (ALMAS), memandangkan mereka berada di sekolah sekular.

Tatkala anak-anak menghadiri kelas madrasah hujung minggu, Encik Qamarul dan isterinya turut menyertai kelas agama buat golongan dewasa di ALMAS.

Kini, pasangan ibu bapa itu berada di dalam kelas sama iaitu di tahun ketiga kursus Sijil Lanjutan Pengajian Islam dengan Encik Luqman dan Encik Lutfi di IPIP. Encik Danish pula berada di tahun pertama.

“Ia adalah tanggung jawab ibu bapa untuk mendidik anak-anak dengan ilmu agama. Sebagai orang Islam, kami mahu menunjukkan kepada anak-anak kami bahawa pembelajaran itu adalah sepanjang hayat. Kami mesti terus mencari ilmu kerana ada pelbagai perkara yang kami boleh pelajari.

“Apabila anak-anak berada dalam kelas yang sama dengan kami, mereka sedar bahawa ada banyak perkara yang mereka tidak ketahui tentang agama.

“Jadi, kami sebagai ibu bapa mahu membuka minda mereka kerana di dalam kelas IPIP, kami bukan setakat belajar tentang ibadat, tetapi juga tentang fiqh munakahat, fiqh muamalat, usul fiqh, mustalah hadis, dakwah Islamiah, tasawwuf, akhlak, bahasa Arab dan lain-lain lagi.

“Kami harap dengan ilmu ini, mereka dapat menggunanya di dalam kehidupan mereka, apalagi apabila mereka ada keluarga sendiri nanti,” kata Encik Qamarul.  

Sebelum Encik Qamarul dan isterinya mendirikan rumah tangga, mereka masing-masing juga pernah belajar di kelas mingguan Persatuan Ulama dan Guru-guru Agama Islam Singapura (Pergas) selama sekitar lima tahun pada tahun 1990-an.

Beliau menambah bahawa ia penting sebagai ibu bapa untuk menerapkan  ilmu agama dalam diri anak-anak dengan harapan agar mereka lebih beriman dan dijauhkan daripada pengaruh kurang baik di luar sana.

“Ibu bapa tidak boleh bersama anak-anak 24 jam. Jadi, dengan bekalan ilmu agama, sekurang-kurangnya mereka boleh membezakan antara yang baik dan kurang baik,” kongsi Encik Qamarul.

Selain daripada itu, pengajian lima beranak itu di IPIP telah mengeratkan hubungan mereka di samping membina peribadi mereka untuk menjadi Muslim yang lebih baik. 

“Dakwah itu adalah tanggung jawab setiap umat Islam. Apabila kita ada ilmu, kita mesti amalkan ilmu itu dan kongsi perkara baik bersama ahli keluarga dan orang sekeliling kita. Tetapi, kita mesti selalu bersikap rendah diri dan jangan lah ‘pandai-pandai’ nak ajar orang,” kata Encik Qamarul.

(Sumber: Berita Harian, 15 November 2019)

Kongsi kisah ini:

Baca kisah-kisah berikut

Institut Pengajian Islam Pergas
Testimoni

Pengajian Islam dapat permintaan tinggi

Pendidikan Islam berstruktur yang disediakan oleh Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP), mendapat permintaan yang tinggi daripada para pelajar yang ingin meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agama Islam, tanpa mengira usia mereka.

Baca Lebih Lanjut »

IPIP membentuk pelajar menyeluruh

IPIP membentuk pelajar menyeluruh

IPIP membentuk Pelajar Menyeluruh

Bukan sekadar mempelajari tentang agama, tetapi juga cara menguruskan kehidupan harian. 

Demikian yang dipelajari Encik Nor Hafizan Mohammad Rosli, 20 tahun, melalui kursus Sijil Lanjutan Pengajian Islam di Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP). 

Beliau, juga pelajar dalam jurusan kejuruteraan dengan perniagaan dari Politeknik Singapura, membuat keputusan untuk meningkatkan ilmu agama di IPIP sejak dua tahun lalu selepas tamat program Youth Alive di Masjid Al-Mawaddah

“Saya harap semoga dengan ilmu saya ini, saya dapat membantu masyarakat Islam, terutama para belia, apalagi saya masih aktif menjadi sukarelawan di Masjid Al-Mawaddah,” kata Encik Nor Hafizan.

Beliau juga merupakan seorang sukarelawan bersama Majlis Pelajar Pergas (MPP) iaitu badan pelajar yang terdiri daripada pelajar dan alumni IPIP.

MPP telah ditubuhkan pada tahun 1996 dengan matlamat untuk menyediakan pelajar melalui pengajian di bilik darjah kepada pengalaman sebenar. 

Pelajar akan dibentuk sebagai aset mahupun agen pendakwah bagi keluarga, masyarakat dan individu.

Menurut Encik Nor Hafizan, selama dua tahun di IPIP, beliau mendapati bahawa modul-modul yang ditawarkan seperti Fiqh Keluarga dan Fiqh Muamalat berkenaan kegiatan perniagaan dan ekonomi sangat berguna bagi beliau amalkan dalam kehidupan harian. 

“Memandangkan saya juga mempelajari tentang perniagaan di politeknik, saya mendapati modul Fiqh Muamalat sangat bersesuaian bagi saya mempelajari tentang perniagaan dan ekonomi dari sudut Islam,” kata Encik Nor Hafizan.

Katanya lagi, pengajian Islam di IPIP juga membantu membentuk perwatakannya sebagai seorang individu yang menitik beratkan pertalian keluarga dan rakan-rakan. 

Ini mendorong beliau untuk meluangkan masa sebagai sukarelawan MPP supaya beliau dapat memanfaatkan ilmu yang dipelajari dalam bilik darjah kepada pengalaman sebenar. 

“Di dalam bilik darjah, kami juga belajar tentang adab, tata tertib dan cara berbicara dengan orang. Ilmu sebegini penting dalam pembentukan perwatakan saya dan saya amalkan apa yang saya telah pelajari apabila saya terlibat dalam kegiatan atau acara MPP,” kata Encik Nor Hafizan.

Sebagai contoh, beliau telah menjadi salah seorang anggota jawatankuasa perancangan bagi hari orientasi IPIP dan pernah terlibat dalam acara untuk mempromosikan IPIP di Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah.

“Sebagai seorang sukarelawan MPP, saya dapat bekerjasama dengan guru-guru saya dan ini sebenarnya membantu mengeratkan silaturahim kami dan membuka minda saya pada pengalaman baru,”kata Encik Nor Hafizan. 

Justeru, Encik Nor Hafizan berpendapat bahawa pengajian di IPIP adalah sesuatu yang holistik dan sangat penting sebagai seorang Muslim di Singapura. 

“Saya rasa pengajian di IPIP holistik kerana kita bukan sahaja fokus dalam pengajian agama Islam tetapi juga mempelajari tentang peradaban dan nilai-nilai yang boleh diterapkan dalam kehidupan harian kita,” kata Encik Nor Hafizan.

(Sumber: Berita Harian, 25 Oktober 2019)

Kongsi kisah ini:

Baca kisah-kisah berikut

Institut Pengajian Islam Pergas
Testimoni

Pengajian Islam dapat permintaan tinggi

Pendidikan Islam berstruktur yang disediakan oleh Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP), mendapat permintaan yang tinggi daripada para pelajar yang ingin meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agama Islam, tanpa mengira usia mereka.

Baca Lebih Lanjut »

Pengalaman Puan Noridah Basir belajar di IPIP

Noridah Basir

Pengalaman Puan noridah Basir belajar di IPIP

Pada mulanya, apabila saya ingin mendaftarkan diri untuk mengikuti pengajian di Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP), saya agak keberatan sedikit kerana dengan mendaftar bermakna saya perlu mengimbangi masa antara perkerjaan dan pelajaran. Sebagai pekerja sepenuh masa, saya perlu membahagikan waktu kerja dan waktu belajar agar tidak memberi tekana pada diri sendiri. Salah satu kebimbangan yang saya hadapi adalah masa/waktu. Contohnya, jangka masa untuk mengulangkaji, mengulas makalah yang diberi, persiapan untuk presenstasi dan selainnya. Sama ada di pejabat mahu pun di bilik darjah.

Pensyarah sebagai pendorong utama

Setelah melalui beberapa modul di IPIP, saya mendapati bahawa fleksibiliti dan kelonggaran yang diberi semasa semester dan modul amat membantu diri saya. Mithalannya, setiap modul pensyarah akan membantu pelajar mengatasi cara bagaimana membuat penyelidikan buku, pelbagai kajian, menyediakan presentasi dan seumpamanya. Pensyarah akan terus membantu mengurangkan tekanan pelajar dalam memahami mata pelajaran tersebut. Dan juga, tempoh bagi setiap modul memberi jangka masa yang memadai bagi pelajar.

Minat meneruskan pengajian ke peringkat Sarjana Muda

Pengajian saya di IPIP bermula dari peringkat Sijil Pengajian Islam (SPI) dan kemudian ke peringkat Sijil Lanjutan Pengajian Islam (SLPI) dan akhirnya tamat pengajian pada peringkat Diploma Pengajian Islam (DPI). Setelah mengikuti tiga peringkat tersebut, semangat saya semakin bertambah untuk melanjutkan terus pengajian ke peringkat Sarjana Muda. Dorongan dan motivasi yang saya terima dari ahli keluarga, rakan-rakan seperjuangan dan ahli pentadbir amat membantu untuk meneruskan perjuangan ini.

Pembelajaran mengikut konteks dalam suasana yang interaktif

Perkara utama yang saya amat minati di IPIP adalah, setiap mata pelajaran dikaitkan dengan keadaan realiti pada zaman ini. Setiap modul diberi topik untuk bermusyawarah diantara pensyarah dan pelajar. Yang membuatnya lebih menarik adalah setiap individu mempunyai latar belakang dan pendapat yang berbeza. Kami, sebagai pelajar dapat kemukakan pelbagai isu (berkaitan dengan topik) yang dihadapi di tempat kerja, rakan sebaya dan lain-lainnya. Dengan mengadakan musyawarah sedemikian, ia memberi kita pemahaman yang lebih mendalam, kefahaman dari aspek yang berbeza dan membuka minda individu untuk menerima kesederhanaan di dalam agama Islam.

Ianya juga membantu kami untuk mengajar dengan menggunakan petua (tips) yang sama iaitu kaitan dengan realiti dan membuka minda kepada pelajar kami. Setiap kajian yang dikaji mengikuti keadaan semasa dan konteks yang sepatutnya untuk mengelakan sebarang penyelewengan berlaku.

Tiga perkara yang terus mendorong diri saya untuk menamatkan pelajaran di peringkat DPI dan meneruskan ke peingkat Sarjana Muda ialah; pertama, membuat pelbagai kajian (berkaitan dengan realiti semasa) dan cara menghadapinya dengan keyakinan dan keadilan tanpa menghukumi semata. Kedua, meningkatkan disiplin diri untuk menjadi lebih berkelayakan. Dan ketiga adalah apabila melihat pada rakan-rakan seperjuangan meneruskan perjalanan menuntut ilmu. Kerana setiap perjalanan yang dilalui tidak begitu mudah dan adakalanya mencabar.

Status bekerja bukan penghalang

Justeru itu, saya akan sarankan mereka yang berada di luar sana untuk mengikuti pengajian Islam di IPIP diatas pengalaman yang saya lalui. Walaupun saya menghadapi beberapa situasi kesukaran ketika melaksanakan pembelajaran saya dan juga ketika berkerja, Alhamdulillah, saya dapat mengatasinya dan tiada yang mustahil. Dengan izin Tuhan, saya dapat menamatkan pembelajaran peringkat DPI dan juga dapat meneruskan pembalajaran saya hingga ke tahap peringkat Sarjana Muda.

IPIP memberi peluang bagi saya membuka pintu untuk meningkatkan prospek kerjaya saya, mengemas kini pengetahuan di dalam pelbagai hal ehwal keagamaan dan juga keadaan semasa.

Ibarat kata Sayidina Ali Ibn Talib “Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga engkau dan engkau menjaga harta. Ilmu itu penghukum (hakim) dan harta terhukum. Harta itu kurang apabila dibelanjakan tapi ilmu bertambah apabila dibelanjakan.”

Kongsi kisah ini:

Baca kisah-kisah berikut

Institut Pengajian Islam Pergas
Testimoni

Pengajian Islam dapat permintaan tinggi

Pendidikan Islam berstruktur yang disediakan oleh Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP), mendapat permintaan yang tinggi daripada para pelajar yang ingin meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agama Islam, tanpa mengira usia mereka.

Baca Lebih Lanjut »